Welcome :D

Welcome To My Fun Home . Be Open to Whatever Comes Next, chilax! HAHA, Iqraa'

Wednesday 24 September 2014

Tarian Rodat

BUDAYA SETEMPAT : TERENGGANU  #keepgoing#




PENGENALAN

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu terkenal dengan kekayaan keseniannya yang diperturunkan dari zaman ke zaman. Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan seni persembahan warisan Melayu tradisional yang masih aktif hingga kini dan tidak kurang juga sebahagian daripadanya hanyut dibawa arus kemodenan. Antara kesenian Melayu yang diperturunkan pada zaman dahulu dan masih diamalkan oleh masyarakat Melayu sehingga hari ini ialah seni persembahan tradisional. Seni persembahan tradisional ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat Umumnya, seni persembahan tradisional dipersembahkan di majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pesta kebudayaan.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai identiti seni budaya mereka tersendiri yang masih kekal dan dikembangkan hingga ke hari ini.Melaka gemalai dengan dondang sayang, Johor tangkas dengan tarian Kuda Kepang, Kedah asyik menerusi dendangan Ghazal Parti, Pulau Pinang rancak dengan boria, Selangor nyaring dengan keroncong, Kelantan lantang dengan dikir barat serta wayang kulit, manakala Terengganu pula unik dengan kelembutan lenggok dan nyanyian rodat.

Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan dan pengaruh yang agak signikan. Dalam konteks ini, pantun dikonsepsikan sebagai satu bentuk nasihat, adat, berbudi bahasa, jenaka, kasih sayang yang disampaikan dalam bahasa yang berirama serta indah dan mengasyikkan.

Seni persembahan tradisional ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat Terengganu dan dipersembahkan di majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pesta kebudayaan. Menurut, Cik Nurul Nadia Narindi, Pegawai Penyelidikan dan Inovasi Akademi Seni Negeri Terengganu (Aseni), berkata rodat dipersembahkan dalam bentuk tarian, nyanyian serta paluan alat muzik yang dipanggil rebana tar atau tar rodat.


ASAL-USUL RODAT

Rodat adalah satu bentuk persembahan kesenian yang amat popular di kalangan masyarakat, khususnya di Negeri Terengganu Darul Iman.Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu telah membuktikan bahawa pada awal abad ke-19, telah ada pedagang-pedagang dari Sambas dan Pontianak telah datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket serta perkakas. Anak-anak kapal berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil menyanyi-nyanyi (rodat) diiringi dengan sebuah alat muzik yang dipanggil rebana tar hingga lewat malam. Alunan lagu (rodat) serta suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik tersebut, telah menarik penduduk tempatan (Terengganu) untuk mempelajari persembahan ini sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor serta telah berkembang dalam masyarakat Terengganu khususnya.

Sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila dilihat perkataan rodat itu sendiri wujud dalam perbendaharaan kata Arab yang membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga berbalas-balas. Selain daripada itu, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga diungkap dalam bahasa Arab di mana isinya dipetik dan disalin daripada sebuah kitab yang diberi nama hadrah. Apa yang lebih menarik  tentang seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul.

Rodat pada peringkat awal dimainkan oleh penduduk Terengganu dalam kumpulan kecil untuk mengisi masa lapang pada waktu malam selepas penat bekerja pada siang hari. Musim tengkujuh yang melanda saban tahun menghalang usaha para nelayan mencari rezeki. Kesempatan ini digunakan untuk mempelajari dan bermain rodat. Hal ini bertepatan dengan kenyataan Shahril Asmar dan Mohamed Roselan (1995) iaitu, "Masyarakat tradisi mempunyai banyak masa terluang. Selepas musim menuai hinggalah musim menuai misalnya, kebanyakan petani tidak mempunyai pekerjaan lain untuk mengisi masa itu. Begitu juga nelayan yang tidak dapat ke laut kerana musim tengkujuh. Ombak yang ganas menerjah lautan tidak dapat ke laut kerana musim tengkujuh. Ombak yang ganas menerjah lautan tidak memungkinkan mereka mencari rezeki. Ekoran itu, berbagai-bagai bentuk seni direka untuk mengisi masa lapang." Pada sekitar tahun 1900, rodat mula dipersembahkan di majlis perkahwinan dan berkhatan untuk memeriahkan suasana dan sebagai hiburan kepada para tetamu yang hadir. Persembahan rodat berupa zikir yang memuji Allah, nabi dan rasul yang bertujuan memohon keberkatan majlis daripada Allah dan dapat mengeratkan persaudaraan dalam kalangan penduduk kampung. Persembahan ketika itu tidak melibatkan sebarang tarian.


CIRI-CIRI PERSEMBAHAN

Menurut Kamus Pelajar, persembahan ditakrifkan apa-apa yang disembahkan atau pemberian kepada raja. Persembahan rodat mempunyai kumpulan utama yang terdiri daripada sembilan orang pengadi, 12 orang pelenggok dan lima orang mak inang. Kebiasaannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas. Lagu yang sering digunakan ialah lagu selawat yang dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit. Setelah lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan Bismillahi Muala Nab Tadaina iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan. Kemudian para pengadi akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok. Begitulah seterusnya di mana lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

Setelah selesai enam fasa, mak inang yang bersedia di belakang pentas ini akan masuk menyampaikan persembahannya dengan mengalunkan lagu rodat dalam bentuk pantun yang berunsurkan kasih sayang dan pengajaran. Mak inang akan masuk berpantun untuk jangka masa 10 hingga 15 minit dan struktur kedudukan mak inang adalah berada dalam keadaan berbaris iaitu berada antara barisan pengadi dan pelenggok. Apabila mak inang memulakan pantun, pengadi akan mengiringinya dengan paluan tar sementara dalam institusi yang sama pelenggok akan mula melenggok badannya mengikut rentak lagu dan paluan tar. Dalam situasi pelenggok menyahut pantun daripada mak inang, mak inang akan terus menari dengan paluan tar yang agak rancak dan kuat. Begitulah seterusnya situasi berbalas-balas pantun antara mak inang dengan pelenggok berserta pengadi berdasarkan kepada rentak dan jenis lagu yang disampaikan.

Pergerakan tarian dalam seni persembahan rodat pada umumnya merangkumi beberapa peringkat atau fasa berasaskan dua pergerakan utama iaitu bergerak maju ke hadapan dan undur ke belakang dengan membawa pergerakan tangan, kaki dan badan. Peringkat pergerakan dalam gerak tari persembahan rodat melibatkan pergerakan duduk dan berlutut, pergerakan percantuman atau gabungan antara keadaan duduk dan berdiri, serta pergerakan dalam berdiri sahaja. Tetapi tiap-tiap satu peringkat bermula serta berakhir dengan pergerakan duduk atau berlutut.

Persembahan seni rodat dikatakan mempunyai 50 hingga 60 jenis lagu, namun pada suatu ketika dahulu antara lagu yang masih popular dimainkan sehingga kini yang terkandung di dalam kitab hadrah adalah seperti  Ya Hayyum Ya Qayyum (Nama-nama Tuhan yang menghidupkan), Allah La illa ha illallah (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah),La illa ha illa Ya Karim (Tidak ada Tuhan melainkan Engkau), Ya Rasul Ya Rasulullah (Wahai Rasul, wahai persuruh Allah), Zikir Nabi AI-Mukhtar (Nabi yang terpuji) dan Sillatullah (Hubungan dengan Allah).

Bagi mengiringi satu-satu persembahan rodat, kumpulan pengadi akan menggunakan sejenis alat muzik yang dikenali sebagai tar rodat. Bentuk tar rodat ini seakan-akan rebana hadrah. Namun tar rodat ini lebih kecil sedikit berbanding dengan rebana. Tar diperbuat daripada sejenis kayu yang dikenali sebagai kayu leban, manakala bahagian permukaaan yang dipalu pula dihasilkan daripada kulit kerbau. Kulit kerbau yang digunakan mestilah berusia sekurang-kurangnya tiga tahun. Kulit kerbau akan diletakkan pada permukaan tar dan diikat dengan lilitan aluminium atau kuprum dan dipaku di sekelilingnya menggunakan sejenis tembaga yang dipanggil kendit.

Dari segi pakaian pula, mak inang kebiasaannya mengenakan baju kurung atau baju kebaya manakala bentuk pakaian lelaki pula yang terdiri daripada pelenggok dan pengadi sejak awalnya hinggalah sekarang adalah berbaju melayu, bersongkok serta dikenakan samping samada kain tenun atau songket ataupun berbaju batik. Apa yang menjadi perbezaan antara dahulu dan sekarang adalah hanya daripada segi jenis fabrik yang digunakan. Pakaian melambangkan identiti dan personaliti seseorang itu. Bukan itu sahaja, pakaian tradisi mampu mencerminkan keperibadian sesebuah bangsa dan contoh yang baik boleh dijadikan teladan bersama.


ASPEK BUDI BAHASA DAN KESANTUNAN BERBAHASA DALAM TARIAN RODAT

Memandangkan penulis merupakan anak kelahiran Terengganu, penulis berminat untuk mengkaji nyanyian rodat sebagai kebudayaan setempat yang terdapat di Terengganu. Nyanyian rodat merupakan sejenis muzik yang berasal dari tanah Arab .Perkataan rodat dipercayai berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ulang-ulik, bersahut-sahutan kembali atau yang menunjukkan berbalas-balas. Rodat juga dipercayai lahir bersama-sama nazam, maulud, berzanji, zapin, hasiddah, nasyid dan berhadrah. Penulis amat berminat untuk mengetahui mengenai nyanyian serta tarian yang diperkenalkan dalam rodat ini .Di samping itu, pelbagai keunikan tentang kebudayaan yang boleh dipelajari dari aspek budi bahasa dan kesantunan berbahasa. Ini mendorong penulis untuk mengkajinya dengan lebih mendalam.

Berdasarkan kajian, penulis mendapati  persembahan rodat merupakan seni yang berunsurkan Islam dan mesej yang disampaikan pula mengandungi nilai-nilai yang positif seperti kasih sayang dan pengajaran malah merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul, manakala aspek kesantunan berbahasa pula sangat menekankan penggunaan bahasa yang sopan dan baik dalam kehidupan seharian. Oleh itu, bahasa dan lagu yang dimainkan dalam nyanyian rodat ini amat bersesuaian untuk dijadikan teladan bagi generasi muda agar kesantunan dan budi bahasa itu dapat dipupuk dan dijadikan amalan sepanjang hayat.Tambahan pula, nyanyian rodat juga menerapkan doa kepada pengantin. Kenyataan ini dapat dikaitkan dengan Hadrah.Hadrah merupakan paluan gendang bersertakan nyanyian yang memuji kemuliaan Tuhan, nasihat kepada saudara seagama, pujian untuk pengantin dan sebagainya.

Selain itu, pantun juga menjadi salah satu konsep dalam nyanyian rodat. Pantun-pantun yang disampaikan biasanya berbentuk pantun empat kerat di mana rangkap-rangkap pantun yang disampaikan ada hubungkaitnya dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah di negeri Terengganu khususnya. Di samping itu juga, apa yang lebih penting adalah mesej-mesej yang ingin disampaikan adalah berunsurkan pengajaran, nasihat, teguran dan jenaka. Hal ini bermakna konsep kesantunan dan budi bahasa juga dapat disampaikan melalui nyanyian itu sendiri dan dijadikan pedoman buat semua. Hingga kini persembahan rodat masih diteruskan dengan persembahan pantun-pantun Melayu dan para pemuisi terkenal di Terengganu turut menyumbangkan puisi pantun untuk persembahan rodat. Pada pandangan penulis, warisan tradisional Melayu yang mengamalkan kesantunan dan budi bahasa mampu mendidik generasi akan datang agar menjadi seorang insan yang mempunyai budi pekerti dan sahsiah yang baik.

Persembahan rodat yang merupakan kesenian dan kebudayaan warisan negeri Terengganu mampu menarik perhatian generasi muda masa kini dan menjadi tarikan buat pelancong ke Terengganu. Tidak keterlaluan juga jika disimpulkan bahawa rodat boleh kembali menjenguk zaman gemilangnya seperti dahulu jika ada benih kesedaran oleh pelbagai pihak terhadap pengisian sebenar kesenian tersebut. Sumbangan rodat dalam konteks sosial bukanlah kecil, malah ia banyak menjana ke arah kesempurnaan dalam kehidupan yang juga harus dilihat dan dinilai oleh semua pihak secara positif.

Dapat disimpulkan, keunikan kesenian Rodat ialah dari segi persembahan, mesej serta diperkuatkan lagi dengan elemen seni berunsurkan Islam dan amat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Allah dan kisah sejarah para Rasul. Sebahagian besarnya berpendapat bahawa kesenian ini telah dibawa ke rantau ini dari Tanah Arab ataupun Timur Tengah melalui aktiviti perniagaan dan perdagangan yang aktif kira-kira seabad yang lalu.




No comments: